LED atau nama panjangnya, LIGHT EMITTING DIODE merupakan sebuah teknologi yang telah diadaptasi dan menjadi pencetus fasa baru dalam sektor pencahayaan. Selama ini, kita hanya mengenali LED sebagai sebuah lampu yang berwarna-warni atau lebih dikenali oleh masyarakat sebagai "lampu lip lap" yang sering menghiasi rumah-rumah perumahan di bandar atau kampung terutamanya sekali ketika musim perayaan. Tetapi kemampuan teknologi lampu LED ini bukan setakat itu sahaja, kerana teknologi ini mampu menghasilkan pencahayaan yang berkualiti tinggi dan menghasilkan resolusi yang sangat tinggi. Tidak mustahil, suatu hari nanti lampu pijar atau kalimantang bakal tinggal sejarah.
Berikut adalah kelebihan LED berbanding dengan teknologi pencahayaan yang sebelumnya :
1. Jangka hayat yang lebih panjang
2. Mampu menciptakan suasana mewah pada ruangan.
3. Warna yang natural dan tidak menyilaukan mata
4. Tidak memancarkan panas, sehingga ruangan menjadi lebih nyaman.
5. Teknologi yang mesra alam kerana lampu LED tidak mempunyai merkuri.
6. Bebas radiasi UV.
Teknologi akan bergerak seiring dengan peredaran masa. Malah kita sendiri tidak dapat menyangka sejauh mana teknologi dalam apa jua bidang mampu berkembang kerana manusia yang dikurniakan kebijaksanaan akal oleh Allah SWT sememangnya ada kemampuan untuk meneroka perkembangan ini dengan lebih terperinci.
Namun jangan sekali-kali kita lupa, sehebat mana pun manusia itu meneroka bidang teknologi, setinggi mana pun pangkat dan kedudukan yang dianugerahkan, dan sekaya mana pun kekayaan yang dikumpul, manusia tetap ciptaan ALLAH SWT, Tuhan sekelian alam yang hanya dijadikan daripada tanah. Jadi, siapa sebenarnya yang hebat? :)
Sudah tentu dengan kepastian tahap infiniti, semestinya ALLAH SWT, PENCIPTA, PEMILIK ALAM ini. Jadi bersyukurlah kita atas segala apa yang telah Allah kuniakan kerana setiap kurniaan dan nikmat Allah ini sangat-sangatlah hebat. Tengoklah diri kita dan tengoklah sekeliling kita, itulah ciptaan Allah yang sangat menakjubkan. Belajarlah hidup bersyukur, kerana dengan bersyukur dan menikmati ciptaan Allah yang hebat ini sememangnya mampu meningkatkan iman kita dan menjadikan kita hamba yang patuh dan taat akan perintahnya, Tetapi, bagaimana ?
Persoalan yang sangat penting. Bagaimana syukur itu dizahirkan secara amal? Bagiaman amal dan tindakan manusia ini dapat dikaitkan dengan perkembangan teknologi? Insya Allah, saya cuba menjawab persoalan ini.
Manusia ada kemampuan untuk mencipta sebuah teknologi. Semestinya teknologi ini mampu memudahkan dan memberi manfaat pada kehidupan manusia.. Andai itu adalah kebolehan yang Allah kurniakan, maka berazam dan berniatlah untuk kita meneroka teknologi ini kerana Allah SWT untuk membantu memudahkan kehidupan manusia, semoga dengan kemudahan ini akan dapat mendidik jiwa dan hati manusia untuk terus beribadat dan mendekatkan diri pada Allah SWT. Moga-moga manfaat yang diberikan ini dapat dikira sebagai catatan amal yang tinggi nilainya di sisi Allah. Kedua-dua pihak, pencipta teknologi dan pengguna teknologi mendapat ganjaran Allah andai setiap tindakan dimulakan dan diatur dengan baik. Insya Allah.
Blog penulisan yang diberi nama LED KEHIDUPAN merupakan nama yang dipilih berdasarkan pengajaran daripada ciri-ciri teknologi itu yang memberi manfaat kepada pengguna, semoga ciri-ciri ini mampu diolah dan diterokai lagi sehingga ciri-ciri ini mampu memberikan cahaya dan petunjuk kepada saya sendiri dan pembaca-pembaca blog ini. Semoga sumber cahaya LED ini bukan sahaja mampu menerangi kehidupan duniawi kita tetapi cahaya ini mampu menerangi kehidupan selepas mati kita kerana inilah harapan dan cita-cita agung kita iaitu sama-sama berada di syurga Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada saya dan kita semua untuk sama-sama memberikan cahaya melalui penulisan, perbuatan, dan apa sahaja cara yang mampu menerangi kehidupan kita duniawi mahupun ukhrawi. Insya Allah. Doaka saya.
Salam perkenalan.
AZRI YUSOFF
No comments:
Post a Comment