Friday, October 4, 2013

Segalanya Bermula Di Sini - Siri 2

Beberapa hari sebelum program Intensif Jutawan Industri 2013 berlangsung, sistem pesanan ringkas (sms) daripada penganjur masuk bertalu-talu ke telefon bimbit saya sebagai langkah peringatan tentang program yang bakal berlangsung ini. Saya secara jujur sangat rasa dihargai dan selesa dengan cara kerja pihak penganjur dalam meyantuni para peserta program. Bagi saya, langkah penghantaran SMS pada peserta sebagai medium perhubungan yang utama selain emel merupakan kaedah yang terbaik dalam mendekatkan diri dengan peserta. Tips yang berguna untuk menyantuni klien selepas ini. :)

Saya memilih untuk membuat pendaftaran sehari sebelum program berlangsung untuk mengelakkan kekalutan pada hari pertama program. Selesai sahaja urusan saya di Bandar Sunway, saya terus bergerak ke Stesesn Komuter Setia Jaya dan terus menaiki komuter menuju ke PWTC. Selama hampir lima tahun tinggal di Bandar Sunway, inilah kali pertama menjejakkan kaki di PWTC. Sampai di PWTC, meraba-raba juga saya mencari tempat pendaftaran untuk program Intensif Jutawan Industri kerana untuk minggu itu sahaja ada beberapa program besar yang akan berjalan serentak. Bertanya orang sana dan sini, akhirnya saya sampai juga di tempat pendaftaran program iaitu Dewan Tun Razak 2. 

Perkara yang menarik apabila saya sampai di dewan ini adalah keadaan di tempat pendaftaran dah macam di stesen bas kerana semua orang datang bersama-sama dengan beg besar seolah-olah dalam perjalanan pulang ke kampung. 

Saya bertanya, "Abang dari mana?" Jawab abang tu, "Saya dari utara". Ada yang menjawab, "Saya dari Kelantan". Pendek kata hampir semua yang datang ini dari seluruh negeri yang ada di Malaysia. 

Alhamdulillah, pendaftaran saya berjalan dengan lancar. Saya bukan sahaja membuat pendaftaran untuk diri sendiri tetapi turut membantu untuk mendaftarkan tujuh orang lagi kawan-kawan saya yang lain. Tersenyum pihak urusetia apabila saya bagi tahu yang saya datang bersama-sama tujuh orang lagi kawan-kawan. Dah macam rombongan Che Kiah pula rasanya. :)

Atas bantuan daripada pihak urusetia, Alhamdulillah pendaftaran saya selesai selepas dua jam berada di situ. Semangat tengok gelagat peserta-peserta yang datang dari serata tempat sehingga tak sedar dah hampir dua jam berada di dewan itu. Ada yang datang bersama satu keluarga, emak, ayah, abg long, kak ngah, kak cik, semuanya diangkut ke program ini. :)

Bersama-sama lapan goody bag yang telah dibekalkan oleh pihak penganjur kepada semua peserta, saya angkut menaiki komuter untuk pulang ke Bandar Sunway. Terasa berotot lengan ini. Boleh tahan juga berat membawa lapan goody bag. 

Pulang dengan perasaan bersemangat dan tak sabar-sabar untuk datang lagi hari esok untuk menimba ilmu yang sebanyak-banyaknya selama tiga hari di sini. Insya Allah. ;)

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mempelajari ilmu satu bahagian saja, ia mengambil manfaat dari ilmu tersebut untuk kepentingan dunia dan akhirat, itu lebih baik baginya daripada berusia 7000 tahun, berpuasa siang harinya dan solat pada malamnya (sunnah) itu diterima tanpa ditolak.” (Riwayat Abdullah bin Mas’ud)


Siri seterusnya, siri pembelajaran seminar selama 3 hari. Insya Allah nantikan entri yang seterusnya. 

## Cerita AZRI YUSOFF di Intensif Jutawan Industri Edis Khas 2013. 



Wednesday, October 2, 2013

Segalanya Bermula Di Sini - Siri 1

22 September 2013, itulah buat pertama kalinya menyertai sebuah program seminar yang berkisarkan tentang keusahawanan kelolaan Dr. Azizan Osman. Namanya sangat popular buat sesetengah orang tetapi tidak bagi saya. Saya hanya kenal nama Dr Azizan Osman tetapi saya tidak ambil kisah tentang apa sebenarnya yang beliau buat dan apa sebenarnya yang beliau perjuangkan. Atas sebab program percuma, saya turut serta juga dalam program tersebut bersama dengan sahabat-sahabat dari Mujahadah Agro Camp Training & Consultancy. 

Program yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) sememangnya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Tetapi, dalam hati masih menganggap biasa sebab program percuma. Siapa yang tidak suka percuma kan. Masuk sahaja ke dalam dewan, saya melihat orang tidak putus-putus masuk ke dalam dewan. Tambah menghairankan, ada yang sanggup datang dari Pahang semata-mata untuk menghadiri program ini. Lambakan manusia yang berada dalam dewan sehinggakan ada yang terpaksa duduk beralaskan lantai dewan. Pusing ke belakang, ke kiri dan kanan, setiap penjuru ada sahaja manusia yang sama-sama berada di dewan dengan riak wajah yang begitu bersungguh dalam menuntut ilmu. 

Alhamdulillah, banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau. Walaupun percuma beliau menyampaikan dengan penuh semangat malah tips dan perkongsian yang beliau berikan sudah boleh memotivasikan sesiapa sahaja yang sudah terlibat dalam bisnes atau masih dalam perancangan untuk melakukan bisnes. Semoga Allah membalas segala tenaga, masa, buah fikiran, dan harta yang telah Dr sumbangkan setimpalnya dan juga semoga Dr. dan keluarga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

________________________________________________________________________

Antara perkara yang saya pelajari untuk slot selama 3 jam:

1. Kenali tipikal orang yang baru hendak memulakan bisnes. Antaranya yang pertama,ragu-ragu dengan bisnes yang hendak dilakukan. Kedua, kita takut pada perkara yang sebenarnya kita sendiri tidak berapa jelas dengan apa sebenarnya yang kita takuti. Ketiga, tidak mempunyai ilmu dengan perkara yang hendak dilakukan. 

2. Tersentak dengan perkongsian Dr. tentang apa yang telah beliau lalui sebelum sampai ke tahap sekarang. Sebelum ini, saya juga punya kisah ujian dalam hidup tetapi tatkala kita anggap ujian kita ini besar, percayalah sesungguhnya ada lagi orang yang berat ujiannya. Surah Al-Baqarah, ayat kedua. 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

3. Power of Gratitude - Belajar untuk bersyukur. Adakalanya sifat syukur ini mempunyai darjat yang lebih tinggi daripada sabar. Orang boleh bersabar dengan ujian Allah SWT tetapi ada yang tidak mampu bersyukur dengan nikmat Allah. 

4. Power of Doa - Doa senjata orang mukmin. Ramai antara kita yang hanya doa memenuhi syarat dan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh. Perbanyakkan solat sunat malam dengan melaksanakan solat sunat tahajjud kerana itulah antara waktu yang paling mustajab untuk berdoa. 

Insya Allah, buat masa ini saya kongsikan 4 perkara penting yang perlu dalam  mengubah kehidupan kita untuk menjadi lebih baik. Strategi dan tips perniagaan turut dikongsi dalam seminar separuh hari ini tetapi perkara ini akan dikongsi dalam dalam entri blog untuk siri yang seterusnya. 

Jazakumullah Khairan Kathira kepada Dr. dan team Richworks. (Semoga Allah merahmati Dr. dan team Richworks)

Minta maaf andai ada kata-kata dalam penulisan saya ini mengguris hati mana-mana pihak. Yang baik itu daripada Allah SWT, yang kurang dan yang lemah adalah disebabkan oleh kelemahan dan kekurangan diri sendiri. 

Jumpa di siri yang kedua. :)

AZRI YUSOFF


Tuesday, October 1, 2013

Nikmat Syukur Yang Tidak Terkira Nilainya.

Alhamdulillah, masih lagi diberi nikmat tidur sebagai rehat kita yang sementara.

Alhamdulillah, masih lagi dibangunkan Allah daripada tidur yang sementara.

Alhamdulillah, masih lagi dapat menghirup oksigen yang kita sendiri tidak tahu bertapa bernilainya setiap kali proses pernafasan yang kita setiap detik.

Alhamdulillah, diberikan kesempatan dan ruang untuk bertahajud menghambakan diri kepada Allah pada saat kebanyakan masyarakat di luar sana lena dalam kegelapan malam.

Alhamdulillah, solat Subuh jemaah menjadi impian dan harapan untuk dilaksanakan secara berterusan,

Alhamdulillah, atas nikmat tubuh badan yang sihat kurniaan Allah SWT.

Alhamdulillah, atas ketenangan hati dan kelapangan dada yang Allah berikan.

Alhamdulillah, atas nikmat mata untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Alhamdulillah, atas nikmat telinga yang Allah kurniakan untuk mendengar.

Alhamdulillah, atas nikmat hidung yang Allah kurniakan sebagai deria untuk membau.

Jika kita kaji dan teliti satu per satu nikmat Allah kurniakan ini sesungguhnya sangat berkaitan antara satu sama lain. Jika hilang satu-satu nikmat, maka akan terkesanlah nikmat Allah yang lain.

Ucapkanlah syukur atas nikmat yang Allah berikan.

Mungkin esok, mungkin hari ini, mungkin minggu hadapan, NIKMAT BERSYUKUR ini Allah tarik dalam kehidupan kita. :)

## Edisi Khas Intensif Jutawan Industri 2013. 27-29 September 2013.