Wednesday, October 2, 2013

Segalanya Bermula Di Sini - Siri 1

22 September 2013, itulah buat pertama kalinya menyertai sebuah program seminar yang berkisarkan tentang keusahawanan kelolaan Dr. Azizan Osman. Namanya sangat popular buat sesetengah orang tetapi tidak bagi saya. Saya hanya kenal nama Dr Azizan Osman tetapi saya tidak ambil kisah tentang apa sebenarnya yang beliau buat dan apa sebenarnya yang beliau perjuangkan. Atas sebab program percuma, saya turut serta juga dalam program tersebut bersama dengan sahabat-sahabat dari Mujahadah Agro Camp Training & Consultancy. 

Program yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) sememangnya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Tetapi, dalam hati masih menganggap biasa sebab program percuma. Siapa yang tidak suka percuma kan. Masuk sahaja ke dalam dewan, saya melihat orang tidak putus-putus masuk ke dalam dewan. Tambah menghairankan, ada yang sanggup datang dari Pahang semata-mata untuk menghadiri program ini. Lambakan manusia yang berada dalam dewan sehinggakan ada yang terpaksa duduk beralaskan lantai dewan. Pusing ke belakang, ke kiri dan kanan, setiap penjuru ada sahaja manusia yang sama-sama berada di dewan dengan riak wajah yang begitu bersungguh dalam menuntut ilmu. 

Alhamdulillah, banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau. Walaupun percuma beliau menyampaikan dengan penuh semangat malah tips dan perkongsian yang beliau berikan sudah boleh memotivasikan sesiapa sahaja yang sudah terlibat dalam bisnes atau masih dalam perancangan untuk melakukan bisnes. Semoga Allah membalas segala tenaga, masa, buah fikiran, dan harta yang telah Dr sumbangkan setimpalnya dan juga semoga Dr. dan keluarga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

________________________________________________________________________

Antara perkara yang saya pelajari untuk slot selama 3 jam:

1. Kenali tipikal orang yang baru hendak memulakan bisnes. Antaranya yang pertama,ragu-ragu dengan bisnes yang hendak dilakukan. Kedua, kita takut pada perkara yang sebenarnya kita sendiri tidak berapa jelas dengan apa sebenarnya yang kita takuti. Ketiga, tidak mempunyai ilmu dengan perkara yang hendak dilakukan. 

2. Tersentak dengan perkongsian Dr. tentang apa yang telah beliau lalui sebelum sampai ke tahap sekarang. Sebelum ini, saya juga punya kisah ujian dalam hidup tetapi tatkala kita anggap ujian kita ini besar, percayalah sesungguhnya ada lagi orang yang berat ujiannya. Surah Al-Baqarah, ayat kedua. 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

3. Power of Gratitude - Belajar untuk bersyukur. Adakalanya sifat syukur ini mempunyai darjat yang lebih tinggi daripada sabar. Orang boleh bersabar dengan ujian Allah SWT tetapi ada yang tidak mampu bersyukur dengan nikmat Allah. 

4. Power of Doa - Doa senjata orang mukmin. Ramai antara kita yang hanya doa memenuhi syarat dan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh. Perbanyakkan solat sunat malam dengan melaksanakan solat sunat tahajjud kerana itulah antara waktu yang paling mustajab untuk berdoa. 

Insya Allah, buat masa ini saya kongsikan 4 perkara penting yang perlu dalam  mengubah kehidupan kita untuk menjadi lebih baik. Strategi dan tips perniagaan turut dikongsi dalam seminar separuh hari ini tetapi perkara ini akan dikongsi dalam dalam entri blog untuk siri yang seterusnya. 

Jazakumullah Khairan Kathira kepada Dr. dan team Richworks. (Semoga Allah merahmati Dr. dan team Richworks)

Minta maaf andai ada kata-kata dalam penulisan saya ini mengguris hati mana-mana pihak. Yang baik itu daripada Allah SWT, yang kurang dan yang lemah adalah disebabkan oleh kelemahan dan kekurangan diri sendiri. 

Jumpa di siri yang kedua. :)

AZRI YUSOFF


No comments:

Post a Comment